Monday, June 29, 2009

NABI SULAIMAN DAN SEMUT

Sulaiman bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan dari Allah SWT sehingga bisa memahami bahasa binatang. Dia bisa bicara dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa semut. Dalam Al-Quran surah An Naml, ayat 18-26 adalah contoh dari sebagian ayat yang menceritakan akan keistimewaan Nabi yang sangat kaya raya ini. Firman Allah, Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata, hai manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu karunia yang nyata.

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentaranya dari jin, manusia dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan) sehingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut, hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyadari.

Maka Nabi Sulaiman tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Katanya, Ya Rabbi, limpahkan kepadaku karunia untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku; karuniakan padaku hingga boleh mengerjakan amal soleh yang Engkau ridhai; dan masukkan aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh. (An-Naml: 16-19)

Menurut sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya kepada seekor semut, Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun? Sebesar biji gandum, jawabnya.

Kemudian, Nabi Sulaiman memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Sulaiman membuka botol untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut hanya memakan sebahagian biji gandum itu. Mengapa engkau hanya memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya? tanya Nabi Sulaiman. Dahulu aku bertawakal dan pasrah diri kepada Allah, jawab si semut. Dengan tawakal kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku harus tinggalkan sebagian sebagai bekal tahun berikutnya.

Nabi Sulaiman, walaupun ia sangat kaya raya, namun kekayaannya adalah nisbi dan terbatas. Yang Maha Kaya secara mutlak hanyalah Allah SWT semata-mata. Nabi Sulaiman, meskipun sangat baik dan kasih, namun yang Maha Baik dan Maha Kasih dari seluruh pengasih hanyalah Allah SWT semata. Dalam diri Nabi Sulaiman tersimpan sifat terbatas dan kenisbian yang tidak dapat dipisahkan; sementara dalam Zat Allah sifat mutlak dan absolut.

Bagaimanapun kayanya Nabi Sulaiman, dia tetap manusia biasa yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung. Bagaimana kasihnya Nabi Sulaiman, dia adalah manusia biasa yang menyimpan kedaifan-kedaifannya tersendiri. Hal itu diketahui oleh semut Nabi Sulaiman. Kerana itu, dia masih tidak percaya kepada janji Nabi Sulaiman ke atasnya. Bukan kerana khuatir Nabi Sulaiman akan ingkar janji, namun khuatir Nabi Sulaiman tidak mampu memenuhinya lantaran sifat manusiawinya. Tawakal atau berpasrah diri bulat-bulat hanyalah kepada Allah SWT semata, bukan kepada manusia.

Nabi Ayub diuji penyakit kulit

NABI Ayub, anak Nabi Ishak dilimpahi kekayaan harta benda, malah mempunyai banyak binatang ternakan seperti lembu, kambing, kuda, kaldai dan unta. Kekayaan itu membuatkan kehidupannya senang.

Beliau juga mempunyai keturunan yang besar kerana ramai anak, baik lelaki mahu pun perempuan. Seorang daripada anaknya menjadi nabi, iaitu Basyar.

Walaupun kaya dan mempunyai segala kemewahan, Nabi Ayub tidak lupa membuat kebajikan kepada golongan fakir, miskin dan anak yatim. Beliau tidak sombong, malah tetamu yang mengunjungi rumahnya disambut dengan baik.

Harta dan keturunan yang besar tidak sedikit pun menjadikannya bongkak dan hamba kepada kekayaan. Sebaliknya, dengan kekayaan itu keimanan dan ketakwaannya kepada Allah semakin luhur.

Melihatkan keadaan Nabi Ayub itu, iblis berusaha menggunakan segala tipu helah untuk menggugat keimanannya.

Justeru Nabi Ayub diuji dengan pelbagai cubaan. Pertama diuji melalui kekayaan dan harta bendanya. Kemewahan dengan kekayaan yang dinikmati, semakin hari menjadi susut dan seterusnya semua kekayaan itu habis.

Ayub akhirnya menjadi miskin dalam sekelip mata. Walaupun menghadapi ujian getir itu keimanan kepada Allah tidak langsung terjejas. Beliau sabar menghadapi dugaan dengan hatinya tidak ketinggalan mengingati Allah.

Pendirian Nabi Ayub ternyata tidak mudah diubah. Justeru, diuji sekali lagi dengan kematian anaknya, namun beliau masih bersabar dan pada masa
sama memupuk ketakwaan pada Allah.

Mengenai pelbagai ujian itu, Allah berfirman, maksudnya: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, ‘sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali’.”

Nabi Ayub memang tetap dengan pendiriannya, tidak tewas dengan tipu helah iblis. Selepas itu, Nabi Ayub diserang penyakit kulit yang luar biasa. Beliau menderita kerana penyakit itu selama tujuh tahun.

Walaupun begitu lama menanggung sengsara penyakit itu, beliau tidak pernah gelisah. Beliau tabah menghadapi dugaan. Walaupun badannya semakin kurus, hingga menakutkan mata memandang, beliau masih mampu mengingati Allah.

Disebabkan penyakit Nabi Ayub itu sungguh dahsyat tiada orang sanggup melihatnya, melainkan isterinya yang sabar menemani dan merawatnya. Iblis tidak senang apabila menyaksikan kesabaran dan kesetiaan isteri Nabi Ayub.

Isterinya digoda supaya tidak melayaninya lagi. Tipu daya iblis itu sebenarnya diketahui Nabi Ayub dari awal lagi lalu diberitahu kepada
isterinya.

Nabi Ayub berkata kepada isterinya: “Jika aku sembuh, engkau pasti aku pukul 100 kali.” Kemudian Nabi Ayub berdoa kepada Allah seperti digambarkan melalui al-Quran: “Ingatlah ketika Ayub menyeru kepada Tuhannya: Ya tuhanku! Aku mendapat penyakit dan cubaan daripada syaitan.”

Doa Nabi Ayub dimakbul Allah dan penyakit yang dideritainya selama tujuh tahun sembuh. Dalam al-Quran diceritakan: “Cecah kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan minum. Dan Kami anugerahkan dia dengan mengumpulkan kembali keluarganya dan Kami tambahkan kepada mereka sebanyak mereka pula sebagai rahmat dari Kami dan pengajaran bagi orang yang mempunyai fikiran.”

Mengenai nazarnya, Nabi Ayub mengingatkan isterinya yang terpedaya dengan iblis bahawa beliau akan memukul isterinya itu 100 kali jika beliau sembuh. Justeru, apabila benar-benar sembuh dan sihat, Nabi Ayub bertekad untuk melaksanakan nazar itu.

Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Ayub mengenai cara melakukan nazar itu. Firman Allah, bermaksud: “Dan ambillah dengan tanganmu seikat rumput (100 batang), lalu pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah.

Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar, dialah sebaik hamba kerana dia sesungguhnya amat taat kepada Tuhannya.”

Nabi Ayub menggunakan rumput yang diikat itu untuk memukul isterinya dengan sekali libasan. Walaupun sekali pukulan, ia dikira 100 kali kerana rumput yang diikat itu mengandungi 100 helai daun.

Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup

NABI Ibrahim dijatuhkan hukuman oleh hakim supaya dibakar hidup-hidup kerana memusnahkan patung-patung sembahan mereka.

Semua penduduk Babylon telah dikerahkan mencari kayu api untuk dijadikan unggun api. Unggun api yang besar itu dibina untuk membakar Nabi Ibrahim setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan olehnya.

Semua kayu yang berjaya dipungut telah dikumpulkan di satu kawasan lapang. Kayu-kayu yang dikumpulkan amatlah banyak hingga melepasi ketinggian bangunan yang ada di kawasan itu. Ketinggiannya tidak mampu dijangkau oleh tangan manusia lagi dan memenuhi kawasan yang begitu luas sekali. Kayu-kayu yang dikumpulkan amatlah banyak kerana semua orang tidak kira kecil, besar, tua dan muda semuanya bertungkus lumus mengumpulkan kayu api tersebut.

Apabila kayu api telah banyak, mereka pun mulalah menghidupkan api untuk mencampakkan Nabi Ibrahim. Api marak dengan begitu pantas kerana kayu-kayu yang dikumpulkan itu kering dan berada di kawasan padang pasir yang panas. Bahang kepanasan amat terasa sehingga tidak tertahan oleh kulit manusia.

Namun begitu, mereka semua tidak berganjak walaupun sedikit dari kawasan timbunan kayu tadi kerana ingin melihat sendiri hukuman itu dijalankan.

Sebelum Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api tersebut, kedua-dua tangan dan kakinya telah diikat dengan rantai supaya baginda tidak dapat lari daripada hukuman itu. Bukan sahaja tangan dan kakinya diikat, malah seluruh badannya juga telah dililit dengan rantai.

Ketika orang ramai sangat cemas menantikan upacara tersebut dijalankan, Nabi Ibrahim kelihatan tenang sahaja. Mukanya langsung tidak menunjukkan bahawa baginda takut untuk menempuh dugaan dan ujian tersebut. Lagipun baginda amat yakin dengan janji dan pertolongan yang dijanjikan oleh Allah terhadap hamba-hamba-Nya.

Nabi Ibrahim telah diletakkan di atas pelontar batu sebelum dicampakkan ke tengah-tengah unggun api yang sedang marak itu. Api membakar dengan pantas sekali dan membakar seluruh kayu api yang ada.

Ketika kaumnya hendak mencampakkannya ke dalam api, Nabi Ibrahim hanya berserah diri kepada Allah dan berkata:

"Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung."

Allah SWT juga telah berkata kepada api dalam firmannya:

Kami katakan, wahai api sejukkanlah dirimu dan sejahterakan ke atas Nabi Ibrahim."

Ketika Nabi Ibrahim berada di tengah-tengah unggun api itu, semua rantai dan tali yang mengikat kedua-dua tangan dan kakinya hangus belaka. Namun mukjizat dan keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya menyebabkan seluruh badan dan pakaiannya sedikitpun tidak terusik oleh api.

Setelah beberapa hari, api pun padam dan Nabi Ibrahim keluar dari unggun api yang kayunya itu telah hangus menjadi abu. Semua kaumnya berasa amat hairan dan takjub sekali. Mereka tidak menyangka Nabi Ibrahim masih hidup sedangkan api yang membakarnya amat marak.

Mereka mula merasakan usaha mereka selama ini sia-sia sahaja. Malah ada juga di kalangan mereka yang mengakui tentang kebenaran ajaran yang di bawa oleh Nabi Ibrahim. Walau bagaimanapun mereka tidak berani mengakuinya kerana bimbang dengan hukuman yang akan dikenakan oleh pemerintah.

Kisah Syeikh Abdul Kadir Jailani

"Pada suatu hari saya telah berangkat dari rumah menuju ke kota Baghdad kerana hendak menuntut ilmu. Kota Baghdad itu sangat jauh dari tempat kediaman saya. Disebabkan itulah maka sebelum berangkat ibu saya telah membekalkan saya sedikit wang iaitu sebanyak 40 dinar sebagai perbelanjaan pergi dan balik. Sebelum bertolak, ibu saya telah berpesan agar saya sentiasa bercakap dan berlaku benar dalam segala hal. Apalagi tujuan saya ke Baghdad ialah dengan tujuan yang mulia di sisi agama.

Dalam perjalanan itu saya menumpang sebuah rombongan kafilah kerana perkara itu adalah biasa bagi orang yang hendak berjalan jauh, apatah lagi ketika itu umur saya masih muda. Dalam perjalanan itu kafilah yang saya ikuti terpaksa melalui daerah Hamadan sebelum sampai ke tempat yang dituju. Kebetulan ketika kami sampai di daerah itu tiba-tiba satu kumpulan orang-orang jahat telah menahan kami. Perompak-perompak itu telah menangkap saya dan menjadikan saya orang tawanan mereka.

Semasa saya dibawa pergi, salah seorang daripada perompak itu bertanya: 'Apakah yang kamu bawa bersama-samamu wahai budak?' 'Saya cuma bawa 40 dinar tuan', ujar saya tegas. Sebaik saja mendengar kata-kata saya itu, mereka meninggalkan saya kerana mereka menyangka saya cuba mempermain-mainkan mereka. Selepas itu datang pula seorang perompak yang lain lalu bertanya. 'Apa yang kamu bawa bersama-samamu wahai budak?'

Maka saya pun menjawab dengan jawapan yang serupa seperti yang saya ucapkan kepada kawan-kawannya tadi. Sebaik-baik saja dia mendengar kata-kata saya itu, dia terus membawa saya berjumpa dengan ketua mereka. Kemudian ketua mereka itu bertanya sebagaimana pertanyaan pengikut-pengikutnya tadi. Dengan tegas saya sekali lagi menjawab dengan jawapan itu juga tanpa berubah sedikitpun. Mendengarkan jawapan saya itu ketua perompak menjadi hairan seraya berkata, 'Hai budak, kenapakah engkau begitu berani sekali berkata benar, sedangkan engkau membawa wang'.

Saya lantas menjawab. 'Tuan sejak kecil lagi ibu saya telah mengajar saya supaya selalu bercakap benar. Hingga sebelum berangkat untuk menuntut ilmu ke Baghdad ini pun, ibu saya berpesan supaya saya jangan bercakap bohong. Saya tidak sampai hati hendak mengkhianati nasihat dan pesanan ibu saya. Apalah harganya wang 40 dinar saya ini tuan, bagi seorang yang mahu menuntut ilmu kerana Allah'.

Demi mendengar jawapan saya itu, maka dengan kuasa Allah swt ketua perompak itu lantas menangis tersedu-sedu di hadapan saya sambil berkata, 'Alangkah mulianya budi pekerti mu hai budak, dan alangkah beruntungnya ibu yang melahirkan engkau. Sedangkan masih kecil begini engkau sudah takut berbuat dosa, tetapi aku pula tanpa segan silu berbuat jahat dan mengkhianati janji dan amanah Allah. Demi Allah swt, mulai hari ini aku bersumpah akan bertaubat dan kembali ke jalan yang suci dan benar.'

Kemudian ketua perompak itupun memerintahkan orang-orangnya supaya memulangkan harta rampasan kafilah saya. Setelah itu kami pun meneruskan perjalanan ke kota Baghdad. Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana bukan saja saya terlindung dari segala musibah bahkan sekelian perompak itu telah bertaubat pula berkat dari sikap saya yang bercakap benar itu."


(Nama Sheikh Abdul Kadir Jailani ra memang sudah terkenal di kalangan umat Islam sehingga hari ini. Beliau adalah seorang alim dan wali yang termasyhur. Sebagai seorang yang soleh dan warak beliau telah meninggalkan suatu kisah hidup mengenai dirinya yang elok dijadikan tauladan dalam hidup kita di hari ini. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Abdul Kadir Jailani yang telah diriwayatkan oleh Luqman Haqim). Wallahualam.

Rukun Islam dan Rukun Iman

Rukun Islam

Rukun Islam ada lima perkara:

1. Mengucap dua kalimah syahadat
2. Sembahyang lima waktu
3. Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan
4. Menunaikan haji ke Baitullah (Mekah)
5. Menunaikan zakat

============================

Rukun Iman

Rukun Islam ada enam perkara:

1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
3. Percaya kepada Malaikat-Malaikat
4. Percaya kepada Kitab-Kitab
5. Percaya kepada Hari Akhirat
6. Percaya kepada Qada' dan Qadar

Nabi Luth Diutuskan Oleh Allah Kepada Rakyat Sadom

Masyarakat Sadum adalah masyarakat yang rendah paras moralnya dan rosak akhlak. Masyarakat Sadum tidak mempunyai pegangan agama atau nilai kemanusiaan yang beradab. Maksiat dan kemungkaran bermaharajalela dalam pergaulan hidup mereka. Pencurian dan perampasan harta milik merupakan kejadian hari-hari di mana yang kuat menjadi kuasa sedang yang lemah menjadi korban penindasan dan perlakuan sewenang-wenang. Maksiat yang paling menonjol yang menjadi ciri khas hidup mereka adalah perbuatan homoseksual {liwat} di kalangan lelakinya dan lesbian di kalangan wanitanya. Kedua-dua jenis kemungkaran ini begitu bermaharajalela di dalam masyarakat sehinggakan ia merupakan suatu kebudayaan bagi kaum Sadum.

Seorang pendatang yang masuk ke Sadum tidak akan selamat dari diganggu oleh mereka. Jika ia membawa barang-barang yang berharga maka dirampaslah barang-barangnya, jika ia melawan atau menolak menyerahkannya maka nyawanya tidak akan selamat. Akan tetapi jika pendatang itu seorang lelaki yang bermuka tampan dan berparas elok maka ia akan menjadi rebutan di antara mereka dan akan menjadi korban perbuatan keji lelakinya dan sebaliknya jika si pendatang itu seorang perempuan muda maka ia menjadi mangsa bagi pihak wanitanya pula.

Kepada masyarakat yang sudah sedemikian rupa keruntuhan moralnya dan sedemikian paras penyakit sosialnya diutuslah nabi Luth sebagai pesuruh dan Rasul-Nya untuk mengangkat mereka dari lembah kenistaan ,kejahilan dan kesesatan serta membawa mereka alam yang bersih ,bermoral dan berakhlak mulia. Nabi Luth mengajak mereka beriman dan beribadah kepada Allah meninggalkan kebiasaan mungkar menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan kejahatan yang diilhamkan oleh iblis dan syaitan. Ia memberi penerangan kepada mereka bahwa Allah telah mencipta mereka dan alam sekitar mereka tidak meredhai amal perbuatan mereka yang mendekati sifat dan tabiat kebinatangan dan tidak sesuai dengan nilai-nilai kemanusiaan dan bahwa Allah akan memberi ganjaran setimpal dengan amal kebajikan mereka. Yang berbuat baik dan beramal soleh akan diganjar dengan syurga di akhirat sedang yang melakukan perbuatan mungkar akan di balaskannya dengan memasukkannya ke dalam neraka Jahanam.

Nabi Luth berseru kepada mereka agar meninggalkan adat kebiasaan iaitu melakukan perbuatan homoseksual dan lesbian. Luth menyatakan perbuatan itu bertentangan dengan fitrah dan hati nurani manusia serta menyalahi hikmah yang terkandung didalam penciptaan manusia menjadi dua jenis iaitu lelaki dan wanita. Juga kepada mereka di beri nasihat dan diajukan supaya menghormati hak dan milik masing-masing dengan meninggalkan perbuatan perampasan, perompakan serta pencurian yang selalu mrk lakukan di antara sesama mereka dan terutama kepada pengunjung yang datang ke Sadum. Diterangkan bahawa perbuatan-perbuatan itu akan merugikan mereka sendiri, kerana perbuatan itu akan menimbulkan kekacauan dan ketidak amanan di dalam negeri sehingga masing-masing dari mereka tidak merasa aman dan tenteram dalam hidupnya.

Demikianlah Nabi Luth, melaksanakan dakwahnya sesuai dengan tugas risalahnya.Ia tidak henti-henti menggunakan setiap kesempatan dan dalam tiap pertemuan dengan kaumnya secara berkelompok atau secara berseorangan mengajak agak mereka beriman dan percaya kepada Allah dan menyembah-Nya. Diajaknya Luth terhadap kaumnya untuk melakukan amal soleh dan meninggalkan perbuatan maksiat dan mungkar. Akan tetapi keruntuhan moral dan kerusakan akhlak sudah hidup lama di dalam pergaulan sosial mereka dan pengaruh hawa nafsu dan penyesatan syaitan sudah begitu kuat menguasai tindak-tanduk mereka, maka dakwah dan ajakkan Nabi Luth yyang dilaksanakan dengan kesabaran dan ketekunan tidak mendapat tempat di dalam hati dan fikiran mereka dan berlalu laksana suasana teriakan di tengah-tengah padang pasir .Telinga-telinga mereka sudah menjadi pekak bagi ajaran-ajaran Nabi Luth sedang hati dan fikiran mereka sudah tersumbat rapat dengan ajaran -ajaran syaitan dan iblis.

Akhirnya kaum Luth merasa dan kesal hati mendengar dakwah dan nasihat-nasihat Nabi Luth yang tidak putus-putus itu dan minta agar ia menghentikan aksi dakwahnya atau menghadapi pengusir dirinya dari sadum bersama semua keluarganya. dari pihak Nabi Luth pun sudah tidak ada harapan lagi masyarakat Sadum dapat terangkat dari lembah kesesatan dan keruntuhan moral mereka dan bahawa meneruskan dakwah kepada mereka yang sudah buta-tuli hati dan fikiran serta mensia-siakan masa. Ubat satu-satunya, menurut fikiran Nabi Luth untuk mencegah penyakit akhlak itu yang sudah parah itu menular kepada tetangga-tetangga dekatnya, ialah dengan membasmikan mereka dari atas bumi sebagai pembalasan ke atas terhadap kekerasan kepala mereka juga untuk menjadi ibrah dan pengajaran umat-umat disekelilingnya. beliau memohon kepada Allah agar kepada kaumnya masyarakat Sadum diberi pengajaran berupa azab di dunia sebelum azab yang menanti mereka di akhirat kelak.

Tetamu Nabi Ibrahim dan Nabi Luth

Permohonan Nabi Luth dan doanya diperkenankan dan dikabulkan oleh Allah s.w.t. Dikirimkanlah kepadanya tiga orang malaikat menyamar sebagai manusia biasa. Mereka adalah malaikat yang bertemu kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita gembira atas kelahiran Nabi Ishaq, dan memberitahu kepada mrk bahwa dia adalah utusan Allah dengan tugas menurunkan azab kepada kaum Luth penduduk kota Sadum. Dalam kesempatan pertemuan mana Nabi Ibrahim telah mohon agar penurunan azab keatas kaum Sadum ditunda ,kalau-kalau mereka kembali sedar mendebgarkan dan mengikuti ajakan Luth serta bertaubat dari segala maksiat dan perbuatan mungkar. Juga dalam pertemuan itu Nabi Ibrahim mohon agar anaksaudaranya, Luth diselamatkan dari azab yang akan diturunkan keatas kaum Sadum permintaan mana oleh para malaikat itu diterima dan dijamin bahwa Luth dan keluarganya tidak akan terkena azab.

Para malaikat itu sampai di Sadum dengan menyamar sebagai lelaki muda yang berparas tampan dan badan yang berotot, tegap dan sasa tubuhnya. Dalam perjalanan mereka hendak memasuki kota, mereka berselisih dengan seorang gadis yang cantik dan ayu sedang mengambil dari sebuah perigi. Lelaki muda (malaikat) bertanya kepada si gadis kalau-kalau mereka diterima ke rumah sebagai tetamu. Si gadis tidak berani memberi keputusan sebelum ia beruding terlebih dahulu dengan keluarganya. Maka ditngglkanlah para lelaki muda itu oleh lalu pulang ke rumah cepat-cepat untuk memberitahu ayahnya (Luth).

Mendengar khabar berita anak perempuannya, Nabi Luth menjadi bingung, jawapan apa yang harus ia berikan kepada para pendatang yang ingin bertemu ke rumahnya untuk beberapa waktu, namun menerima tetamu yang berparas tampan dan kacak akan mengundang risiko gangguan kepadanya dan kepada tetamu dari kaumnya yang tergila-gila untuk melakukan hubungan seks sejenis dengan anak muda yang mempunyai tubuh bagus dan paras wajah elok. Sedang kalau hal yang demikian itu terjadi ia sebagai tuan rumah harus bertanggungjawab terhadap keselamatan tamunya, padahal ia merasa bahwa ia tidak akan berdaya menghadapi kaumnya yang bengis-bengis dan haus maksiat itu.

Nabi Luth memutuskan untuk menerima lelaki-lelaki muda itu sebagai tetamu di rumahnya. Luth hanya pasrah kepada Allah dan berlindung sekiranya terdapat segala rintangan yang akan datang. Lalu pergilah ia sendiri menjemput tetamu yang sedang menanti di pinggir kota dan diajaklah mereka bersama-sama ke rumah. Ketika itu, kota Sadum sudah diliputi kegelapan dan manusia sudah nyenyak tidur di rumah masing-masing.

Nabi Luth telah pun berpesan kepada isteri dan kedua puterinya agar merahsiakan kedatangan anak-anak lelaki muda itu. Jangan sampai terdengar dan diketahui oleh kaumnya. Namun, kedegilan isteri Nabi Luth, yang juga sehaluan dan sependirian dengan penduduk Sadum, telah membocorkan berita kedatangan tetamu Luth kepada mereka. Berita kedatangan tetamu Luth tersebar kerana isteri Nabi Luth. Datanglah beramai-ramai lelak-lelaki Sodom, yang buta seks ini, ke rumah Nabi Luth, berhajat untuk memuaskan nafsu seksual mereka, setelah lama tidak mendapat anak muda. Berteriaklah mereka memanggil Luth untuk lepas anak-anak muda itu, agar diberi kepada mereka untuk memuaskan nafsu.

Dengar teriakan mereka, Nabi Luth tidak membuka pintu bagi mereka dan berseru agar mereka kembali ke rumah masing-masing dan jangan menggunggu tetamau yang datangnya dari jauh yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan .Mereka diberi nasihat agar meninggalkan perbuatan kebiasaan mereka yang keji itu. Perbuatan mereka yang bertentangan dengan fitrah manusia dan kudrat alam di mana Allah telah menciptakan manusia berpasangan antara lelaki dengan perempuan untuk menjaga kelangsungan perkembangan umat manusia sebagai makhluk yang termulia di atas bumi. Nabi Luth berseru agar mereka kembali kepada isteri-isteri mereka dan meninggalkan perbuatan maksiat dan mungkar yang tidak senonoh, sebelum mereka dilanda azab dan seksaan Allah.

Seruan dan nasihat-nasihat Nabi Luth tidak dihiraukan dan dipedulikan ,mereka bahkan mendesak akan menolak pintu rumahnya dengan paksa dan kekerasan jika pintu tidak di buka dengan sukarela. Merasa dirinya sudah tidak berdaya untuk menahan arus orang-orang lelaki kaumnya itu yang akan memaksakan kehendaknya dengan kekerasan berkatalah Nabi Luth secara terus terang kepada para tamunya:" Sesungguhnya aku tidak berdaya lagi menahan orang-orang itu menyerbu ke dalam .Aku tidak memiliki senjata dan kekuatan fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka , tidak pula mempunyai keluarga atau sanak saudara yang disegani mereka yang dapat aku mintai pertolongannya, maka aku merasa sangat kecewa, bahwa sebagai tuan rumah aku tidak dapat menghalaukan gangguan terhadap tetamu dirumahku sendiri.Mendengar keluh-resah Nabi Luth, lantas anak-anak muda itu memberitahu hal yang sebenar, mereka adalah malaikat-malaikat yang menyamar sebagai manusia yang diutus oleh Allah untuk menurunkan azab dan seksa atas rakyatnya kerana segala kemungkaran dan kemaksiat yang keji dan kotor.


Malaikat-malaikat itu menyuruh Nabi Luth membuka pintu rumahnya seluas mungkin agar dapat memberi kesempatan bagi orang -orang yang hauskan seks dengan lelaki itu masuk. Namun malangnya apabila pintu dibuka dan para penyerbu memijakkan kaki untuk masuk, tiba-tiba gelaplah pandangan mereka dan tidak dapat melihat sesuatu. Malaikat-malaikat tadi telah membutakan mata mereka. Lalu, diusap-usap dan digosok-gosok mata mereka, ternyata mereka sudah menjadi buta.

Sementara para penyerbu rumah Nabi Luth berada dalam keadaan kacau bilau berbentur antara satu dengan lain berteriak-teriak menanya-nanya gerangan apa yang menjadikan mereka buta dengan mendadak para berseru kepada Nabi Luth agar meninggalkan segera perkampungan itu bersama keluarganya, kerana masanya telah tiba bagi azab Allah yang akan ditimpakan. Para malaikat berpesan kepada Nabi Luth dan keluarganya agar perjalanan ke luar kota jangan seorang pun dari mereka menoleh ke belakang.

Nabi Luth keluar dari rumahnya sehabis tengah malam, bersama keluarganya terdiri dari seorang isteri dan dua puterinya berjalan cepat menuju keluar kota, tidak menoleh ke kanan mahupun kekiri sesuai dengan petunjuk para malaikat yang menjadi tamunya.Akan tetapi si isteri yang menjadi musuh dalam selimut bagi Nabi Luth tidak tergamak meninggalkan kaumnya. Ia berada dibelakang rombongan Nabi Luth berjalan perlahan-lahan tidak secepat langkah suaminya dan tidak henti-henti menoleh ke belakang karena ingin mengetahui apa yang akan menimpa atas kaumnya, seakan-akan meragukan kebenaran ancaman para malaikat yang telah didengarnya sendiri. Dan begitu langkah Nabi Luth berserta kedua puterinya melewati batas kota Sadum, sewaktu fajar menyingsing, bergetarlah bumi dengan dahsyatnya di bawah kaki rakyat Sadum, tidak terkecuali isteri Nabi Luth yang munafiq itu. Getaran itu mendahului suatu gempa bumi yang kuat dan hebat disertai angin yang kencang dan hujan batu sijjil yang menghancurkan dengan serta-merta kota Sadum berserta semua pemghuninya . Bertebaran mayat-mayat yang dilaknat oleh Allah S.W.T di kota Sodom, dan hancurlah kota tersebut yang berada di laluan manusia yang lalu-lalang. Namun, masih ditinggalkan kesan-kesan kehancuran kota tersebut oleh Allah S.W.T, sebagai peringatan kaum yang kemudian yang melalui di jalan tersebut. Demikianlah kebesaran dan ayat Allah yang diturunkan untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi hamba-hamba-Nya yang mendatang.

KISAH UNTA MEMATAHKAN RANCANGAN ABU JAHAL UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH S.A.W

Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah S.A.W.

Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahwa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai."

Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, "Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."

Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahwa dia akan menghapuskan Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.

Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.

Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum QUraisy akanmenyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.

Sebaik saja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya Rasulullah S.A.W baru saja sampai dan hendak mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.

Sebaik-baik saja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disadari oleh baginda.

Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini akan musnahlah engkau hai Muhammad."

Sebaik saja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.

Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disadari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.

Sebaik saja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?"

Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin keheranan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba saja diam membisu.

Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang menimpa dirinya.

Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahwa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah S.A.W.

Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik saja aku menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku."

Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata saja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong saja.

Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan keheranan, "Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi kami tidak nampak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."

Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa endahkan lagi.