Memenuhi undangan ke majlis dituntut agama
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
RASULULLAH bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang tidak menghadiri undangan, dia telah menentang Allah dan Rasul-Nya.” (riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)
Ulama mazhab Shafie menegaskan memenuhi undangan menjadi kewajipan namun bergantung kepada keadaan majlis itu sama ada ia menjadi haram atau wajib.
Syed al-Bari ada menyatakan bahawa syarat undangan yang wajib dipenuhi antara lain hendaklah meliputi:
l .Orang yang mengundang adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.
l .Tidak dikhususkan kepada orang-orang kaya sahaja.
l .Orang mengundang beragama Islam.
l .Tidak ada kemungkaran pada majlis berkenaan.
l .Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.
Namun begitu, syarat wajib hadir itu akan bertukar menjadi haram atau tidak boleh hadir jika ada perkara berikut:
l .Jika ada majlis minuman keras, kumpulan muzik dan hiburan yang melalaikan dan kemungkaran lain yang bertentangan syara’.
l .Tuan rumah dikenali masyarakat setempat sebagai kaki judi, bapa ayam atau sering menganjurkan program maksiat.
l. Jika yang menjemput bukan Islam.
l .Membezakan orang miskin dan kaya dalam majlis yang diadakan.
l .Makanan dan minuman yang disediakan haram di sisi agama.
l .Jika kad atau surat jemputan bersifat umum seperti diletakkan di balai raya, di masjid, di pejabat atas nama semua rakan dan tidak bersifat khusus.
l .Majlis yang tidak dimulakan dengan bacaan al-Quran atau tidak ada doa pada awal dan akhir majlis.
l .Majlis yang tidak mengajak orangramai mengingati Allah atau Rasul-Nya atau yang terpesong dari jalan agama.
Di samping itu, orang yang mengadakan majlis juga tidak bongkak dan sombong apabila mengadakan sesuatu majlis atau keraian seperti ingin menunjuk-nunjuk, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada keadaan kewangan, melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda, membuat pinjaman bank dan berhutang dalam jumlah ringgit yang besar semata-mata kerana menurut nafsu dan keinginan yang melampau dan sebagainya.
Dalam membicarakan soal maksiat dan kemungkaran pada majlis perkahwinan, isu inilah yang sering tidak diambil perhatian berat oleh masyarakat.
Oleh kerana majlis yang diadakan adalah bertujuan mendapat keredaan Allah,usahlah dicemarinya dengan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam.
Hiburan dalam majlis pada asasnya dibenarkan agama, asalkan ia tidak melalaikan sebaliknya lebih mengingatkan kita kepada Allah, umpamanya persembahan nasyid, qasidah dan sebagainya yang lebih membawa kita ke arah zikrullah.
Islam menganjurkan kita bersederhanalah dalam melakukan apa juga perkara dalam kehidupan ini kerana kesederhanaan itulah yang dituntut Islam.
1 comment:
Post a Comment