Adab dan Tatasusila Amalan Perbomohan
(a) Bomoh tidak boleh mendakwa dan mengaitkan sesuatu musibah adalah akibat daripada angkara kejahatan makhluk ghaib.
(b) Bomoh tidak boleh takbur dan tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.
(c) Bomoh hendaklah melarang pesakitnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.
(d) Bomoh hendaklah mengikut adab sopan dan tatatertib Islam ketika menolong seseorang sama ada bersendirian atau bersama pesakit.
(e) Bomoh hendaklah menjaga kesopanan tatasusila dan adab-adab sebagai seorang Islam.
(f) Perbomohan tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-Nya atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifat-Nya seperti mengatakan ilmu bomoh itu diterima terus dari Allah atau kudratnya adalah kudrat Allah, atau melalui mimpi berjumpa wali, malaikat atau lainnya.
(g) Amalan perbomohan tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad dan roh Rasulullah s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh seperti Nur Muhammad menjelma ke dalam diri, dan sebagainya.
(h) Bomoh tidak boleh memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang dipercayai boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti wali syeikh, rijal al-ghaib, roh datuk nenek, sahabat, hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busur, batu, kayu, cincin, kain kuning dan lain-lain.
(i) Bomoh tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami dan bercampuraduk dengan ayat-ayat suci al-Quran dan tidak menganggap bahawa tangkal mempunyai kuasa.
(j) Bomoh tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya kerana dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir atau bercampuraduk dengan ayat-ayat al-Quran.
(k) Bomoh tidak boleh membaca mana-mana ayat al-Quran secara songsang.
(l) Bomoh tidak boleh menggunakan kitab al-Quran secara tidak wajar, seperti syarat; menggantung al-Quran dan tunggu berpusing atau tidak untuk dijadikan alasan tertentu jika berpusing begini dan jika tidak, begini pula maksudnya. Semua ini termasuk menghina al-Quran (Istihza).
(m) Bomoh tidak boleh meninggalkan ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang l ima waktu dan ibadat lainnya ketika melakukan perbomohan.
(n) Bomoh tidak boleh mengamalkan perbuatan menurun, memanggil roh orang mati atau sebagainya dalam kaedah perbomohan.
(o) Penggunaan jampi dibolehkan dengan syarat;
(i) Menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.
(ii) Menggunakan bahasa yang dapat difahami.
(iii) Jangan mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit sembuh daripada penyakitnya, sebaliknya Allah S.W.T. yang berkuasa.
No comments:
Post a Comment