Lipat ganda ibadat Syaaban raih keampunan
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
SYAABAN antara bulan yang mulia di sisi Allah SWT, bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya.
Justeru, Baginda Rasulullah SAW banyak berpuasa sunat dalam bulan yang mulia ini di samping menggalakkan umat Islam melipatgandakan amal ibadat.
Nabi kita Muhammad SAW meningkatkan amal ibadatnya kepada Allah SWT pada bulan yang agung ini.
Namun, Rasulullah pernah menegaskan bahawa kedatangan Syaaban tidak begitu diraikan dan disambut dengan penuh kesyukuran, ramai Muslim yang leka, lalai dan alpa untuk merebut ganjaran serta kelebihan yang Allah SWT sediakan sepanjang bulan ini.
Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti bersungguh-sungguh meluangkan masa beribadat kepada Allah SWT pada Ramadan.
Adat Jahiliyah dulu, orang Makkah lebih mengutamakan serta memuliakan Rejab dan melupakan Syaaban.
Sehubungan itu, Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya Rasulullah mengenai Syaaban kerana aku tidak pernah lihat Baginda banyak berpuasa sunat seperti Syaaban.
Baginda menjawab: “Bulan yang banyak manusia lalai padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah SWT. Dengan itu aku amat suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa'i)
Maksud hadis di atas jelas menunjukkan segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat oleh malaikat tiap hari manakala amal ibadat Syaaban boleh dikatakan sebagai laporan tahunan disediakan malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah.
Setiap Muslim wajib menginsafi bahawa segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati dan sebagainya akan dicatatkan malaikat tidak kira sama ada yang besar mahu pun yang kecil.
Hal ini jelas menerusi firman Allah SWT bermaksud: “Dan demi sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Ketika dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qaf, ayat 16 - 18)
Oleh itu, setiap Muslim seharusnya menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Ilahi terhadap sekalian makhluk-Nya.
Menginsafi pengawasan malaikat iaitu Malaikat 'Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung daripada Allah SWT mudah-mudahan manusia mempunyai deria kesedaran dan keinsafan menghentikan amalan buruk.
Pada masa sama, memberi dorongan serta semangat untuk melaksanakan kebajikan dan amalan salih yang dianjurkan Islam.
Rasulullah adalah teladan umat Islam dalam segala lapangan hidup, maka mereka digalakkan banyak berpuasa sunat pada Syaaban seperti berpuasanya Rasulullah.
Selepas Syaaban akan dituruti Ramadan yang diwajibkan kepada umat Islam berpuasa dan puasa pada Syaaban ibarat latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan berpuasa pada Ramadan nanti.
Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa, tentu kurang rasa penat dan tidak pula terkejut serta berasa berat hati untuk berpuasa pada Ramadan.
Terdapat banyak hadis memberi perangsang kepada umat Islam supaya mengikut sunnah Rasulullah SAW antaranya Saidatina 'Aisyah pernah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh kecuali Ramadan, beliau juga tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa hampir sebulan penuh melainkan Syaaban. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Saidatina Ummu Salmah pula berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan Ramadan. (Hadis riwayat Nasa'i)
Berdasarkan himpunan hadis itu dapat disimpulkan bahawa Islam menggalakkan umatnya melaksanakan ibadat puasa sunat Syaaban lebih-lebih lagi puasa adalah ibadat yang sangat dituntut dilakukan pada Syaaban.
Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadan, bulan ini sudah tentu akan melatih Muslim berpuasa menjelang ketibaan ujian berat pada Ramadan nanti.
Justeru, ada kalangan ulama berpendapat puasa pada bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas berpuasa pada Ramadan.
Berkenaan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan Syaaban, Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya, daripada Muaz bin Jabal bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Allah SWT melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang berzina.”
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: “Allah SWT memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Demikianlah himpunan hadis yang menggambarkan secara umum kepada kita kelebihan Syaaban yang sungguh istimewa ini.
Oleh itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan seperti diamalkan Rasulullah SAW yang memperbanyakkan puasa sunat.
Setiap Muslim sewajarnya merebut peluang keemasan yang terhampar pada Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana terdapat hadis menyatakan bahawa Allah SWT sedia memberi keampunan hamba-Nya yang bertaubat sepanjang Syaaban yang penuh rahmat.
No comments:
Post a Comment