Thursday, September 28, 2006

Yusuf Islam kritik Pope Benedict

LONDON 25 Sept.

Aktivis Islam Britain, Yusuf Islam mengkritik Pope Benedict XVI semalam kerana membuat kenyataan penuh kontroversi mengenai Islam.Dalam ucapan di Jerman awal bulan ini, Pope Benedict memetik kata-kata seorang raja Byzantine zaman pertengahan yang menyifatkan sesetengah ajaran Nabi Muhammad s.a.w. sebagai ‘jahat dan tidak berperikemanusiaan.’

Yusuf yang dikenali sebagai penyanyi popular bernama Cat Stevens pada zaman 1960-an dan 1970-an, berkata dalam wawancara dengan stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa kenyataan pope itu membuktikan beliau tidak sunyi daripada kesilapan.

”Suatu ketika dahulu saya menyangka Pope tidak boleh melakukan kesilapan” kata Yusuf dengan merujuk kepada ajaran yang diterimanya semasa menghadiri sebuah sekolah Katolik pada zaman kanak-kanaknya.

Pope perlu membaca tafsiran yang menunjukkan Islam sebagai agama yang mencintai keamanan, seperti tulisan pemimpin besar India, Mohandas (Mahatma) Gandhi, kata Yusuf.”Pope seharusnya merujuk kepada sumber lain jika beliau mahu memetik kata-kata tertentu, tetapi kami menghormati pope dan kedudukannya. Saya percaya beliau telah menarik balik kenyataannya dan itu langkah positif,” katanya.

Sejak memeluk Islam pada 1977, Yusuf, 58, terkenal di kalangan rakyat Britain sebagai seorang aktivis.Pada 2004, beliau dihalang daripada memasuki Amerika Syarikat (AS) selepas pegawai keselamatan AS mendakwa namanya termasuk dalam senarai orang yang diharamkan masuk ke AS.

– AP

No comments: