Bersahurlah walaupun sedikit
SOALAN:
Adakah bersahur merupakan salah satu daripada syarat-syarat sah puasa?
JAWAPAN:
Hukum bersahur itu adalah sunat sahaja dan ia bukannya syarat sah puasa. Ia merupakan amalan Nabi s.a.w.. Oleh itu kita digalakkan mengerjakannya. Rasulullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada
keberkatan. (Mutafaq alaih)
Kita disunatkan bersahur dan melewatkan waktunya. Bersahur juga dapat menguatkan
tubuh badan, meringankan kepayahan berpuasa kerana kurangnya masa menahan lapar
dan dahaga. Agama Islam sentiasa memberi kemudahan dan galakan agar manusia suka
melakukan amal ibadat kepada Allah. Sunat menyegerakan waktu berbuka dan
melewat-lewatkan waktu bersahur.
Umat Islam digalakkan bersahur walaupun sedikit. Memadailah dengan sebiji kurma
atau seteguk air. Amalan ini adalah amalan Rasulullah. Di samping itu ia juga
dapat mendidik jiwa. Jika kita bangun bersahur kita akan beringat-ingat dan
berjaga-jaga sebelum fajar. Waktu itu jugalah Allah akan membesar-besarkan
hamba-Nya, menerima permintaan hamba-Nya, bersedia mengampuni dosa hamba-Nya dan
menerima amalan yang soleh.
Bayangkanlah betapa besarnya faedah yang akan diperoleh berbanding dengan orang
yang hanya tidur dan tidak bersahur pada waktu itu.
Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam
Sdn. Bhd..
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Sudut Hukum IKIM di
talian 03-6204 6219 dan 03-6204 6253 atau layari laman web
www.ikim.gov.my/suduthukum.
No comments:
Post a Comment