Zaman kanak-kanak Nabi Ibrahim
Kisah Al-Quran (Siri 6)NABI Ibrahim membesar sebagaimana kanak-kanak biasa yang lain. Baginda dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua ibu bapanya. Ayahnya bekerja sebagai pengukir patung-patung penyembahan (berhala) untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.Ayah Nabi Ibrahim sangat terkenal dalam kalangan penduduk Mesir ketika itu. Beliau terkenal kerana kelebihan dari segi pengukiran yang ada padanya. Ramai orang datang dari jauh dan dekat untuk mendapatkan patung-patung ukirannya sama ada besar ataupun kecil. Semuanya elok dan tidak ada tandingan daripada sesiapapun.Sejak kecil lagi, Nabi Ibrahim terdedah dengan cara-cara pembuatan patung sembahan daripada ayahnya. Walau bagaimanapun, baginda tidak sedikit pun berasa yakin dan percaya dengan penyembahan yang diamalkan oleh masyarakatnya.Walaupun masyarakat Babylon menyembah berhala-berhala, namun Nabi Ibrahim tidak pernah sekalipun melakukan penyembahan tersebut. Allah s.w.t. mengurniakan iman dan tauhid kepada Nabi Ibrahim sejak di alam kanak-kanak lagi. Oleh sebab itulah baginda tidak melakukan perbuatan-perbuatan syirik terhadap Allah.Nabi Ibrahim sentiasa berusaha mencari Tuhan yang berhak disembah. hal ini ada diceritakan dalam surah al-An’am ayat 75 hingga 77 dengan jelas.Demikian pula kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami) yang ada di langit dan di bumi. Yang demikian adalah supaya Ibrahim termasuk orang-orang yang berkeyakinan kuat.Apabila malam telah gelap, dia melihat bintang. Dia berkata, “Inilah Tuhanku!” Tetapi apabila bintang itu tenggelam, dia berkata, Aku tidak menyukai sesuatu yang tenggelam. Ketika melihat bulan terbenam, dia berkata, “Kalau Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat.” Sikap Nabi Ibrahim ini dapat dilihat ketika baginda diminta oleh ayahnya untuk menjualkan patung-patung ciptaannya kepada para pelanggan di pekan. Ayahnya selalu meminta pertolongan Nabi Ibrahim untuk menjualkan patung-patung itu.Sebagai anak yang baik dan taat, Nabi Ibrahim tidak pernah membantah suruhan ayahnya tetapi tindakannya cukup dirasakan. Baginda amat tidak bersemangat untuk melakukannya.Ada kalanya Nabi Ibrahim mengejek dan mentertawakan patung-patung yang dijualnya itu. Pelbagai panggilan dan perkataan yang tidak elok telah dikatakan kepada patung-patung itu. Pernah suatu ketika itu, Nabi Ibrahim ketawa sambil mengejek patung-patung tersebut dan menggelarkannya bodoh serta tidak berguna.Tidak kurang juga ketika menjual patung-patung itu, Nabi Ibrahim selalu melaung-laungkan kepada pelanggannya, “Hai penduduk Babylon, siapakah yang akan membeli patung-patung yang tidak berguna dan bodoh ini?”Kata-kata inilah yang selalu diucapkan oleh Nabi Ibrahim setiap kali baginda menjual patung-patung ukiran bapanya di pasar.-
Petikan daripada Untaian 366 kisah daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.
Tel: 03-61379220/ 8396/7834 atau Emel: edusb@streamyx.com
No comments:
Post a Comment