(Allah) digunakan oleh umat Islam sebagai ganti nama kepada Tuhan
Allah (dibaca Allaah),
digunakan oleh umat Islam sebagai ganti nama kepada Tuhan mengikut dalam bahasa Arab. Kata Allah tidak digunakan secara khusus dalam agama Islam saja; penganut Kristian Arab dan orang-orang Yahudi, dan juga umat Katolik dan Protestan di Indonesia, Singapura, Sarawak, Sabah dan Malta juga menggunakannya untuk merujuk kepada Tuhan; misalnya pada Bible terjemahan bahasa Arab.
Perkataan Allah tidak boleh digunakan untuk menggambarkan jamak (banyak) atau melambangkan apa-apa jantina, atau dinamakan untuk apa-apa yang selain dari Tuhan. Asal perkataan Allah dari dua perkataan Arab; (Al-) yang memberi erti khusus dan (-ilah) memberi erti Tuhan. Sebaik-baik translasi perkataan Allah itu ialah Tuhan yang satu yang sebenar-benarnya.
Perlu juga ditekankan disini, bahawa usul perkataan Allah itu timbul dari kata buat Arab ta'allaha (atau alaha) yang memberi maksud yang disembah. Oleh itu, perkataan Allah itu boleh juga bermaksud: satu-satunya yang layak disembah.
Perlu difahamkan bahawa Allah, Tuhan yang satu, yang disembah oleh umat Islam adalah Tuhan yang sama yang disembah oleh pengikut Yahudi dan Nasrani.
Islam menolak penjelmaan Tuhan didalam rupabentuk manusia atau sesuatu apa jua pun. Tiada konsep individu terpilih atau bangsa terpilih dalam Islam. Setiap manusia, tanpa mengira apa-apa tercipta dengan keadaan fitrah sama adil. Yang membezakan darjat masing-masing pada sisi Allah adalah amal dan ketakwaan individu itu sendiri.
Contoh kata-kata yang menggunakan kata Allah:
Allahu Akbar (Allah Maha Besar)
Bismillah (Dengan nama Allah)
Ya Allah (Oh Allah)
Insha'Allah (Sekiranya Allah mengkehendaki)
Masha Allah (Allah telah menentukannya)
Subhan Allah (Maha Suci Allah)
Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah)
Allahu A`alam (Allah lebih mengetahui)
Jazaka Allahu Khairan (Semoga Allah membalas kebaikan kamu)
Orang Islam tidak cuba menggambarkan Allah dalam apa cara sekalipun. Sebaliknya mereka memfokuskan kepada sifat/namaNya, Sifat 20/Asmaaulhusna. Bilangan sifat Allah tidak terhad kepada 20, bahkan ada banyak lagi sifat Allah yang disebut di dalam nas al-Quran dan Hadith Nabi SAW.
Oleh itu umat Islam hanya dituntut supaya beriman iaitu percaya dan membenarkan segala nama serta sifat Allah yang dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan Hadith yang jelas tanpa sebarang perincian, pengurangan, penyerupaan atau pengubahsuaian, sebaliknya beriman dengan semua nama dan sifat Allah yang telah dijelaskan sendiri oleh Allah dan RasulNya.
Beriman kepada Allah adalah Rukun (asas) Iman yang pertama. Iman kepada Allah merangkumi lima aspek keesaan (ketauhidan) iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid Hakimiyah, Tauhid Asmaa' dan Tauhid Sifat. Aqidah tauhid (monotheism) adalah aqidah yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul termasuklah Nabi Nuh, Ibrahim, Daud, Sulaiman, Musa dan Isa. Manakala Nabi Muhammad s.a.w adalah rasul terakhir yang menyempurnakan risalah aqidah tersebut kepada semua kalangan manusia tanpa mengira keturunan, bangsa, bahasa, budaya dan warna kulit.
No comments:
Post a Comment