Hukum cium tangan, mandi berbogel dan harta muallaf
Bersama : Mufti Negeri Terengganu
Saya ingin mendapat penjelasan mengenai hukum seorang lelaki memberi salam kepada seorang perempuan ajnabi atau perempuan memberi salam kepada lelaki ajnabi.- Ismail Ibrahim, Kemaman. Ucapan salam sesama Islam adalah dituntut dan merupakan satu daripada perkara yang boleh mengeratkan silatul rahim sesama orang Islam. Oleh itu tidak menjadi apa-apa halangan perempuan memberi salam kepada lelaki asing (ajnabi) atau sebaliknya selama ianya tidak mendatangkan fitnah dan dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata bukan bertujuan lain. Bagaimanapun sebaik-baiknya menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan salah faham atau syak wasangka daripada mana-mana pihak. Adakah amalan mengucup tangan orang-orang tertentu itu termasuk di dalam amalan sunnah ataupun adat? - Ahmad Faiz Ahmad, Kuala Terengganu. Mengucup tangan orang-orang tertentu sememangnya berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. Kiranya bertujuan memuliakan seseorang yang layak dihormati maka mengucup tangan itu dibenarkan bahkan digalakkan. Sahabat-sahabat pernah mengucup tangan Rasulullah s.a.w., begitu juga berlaku di kalangan para sahabat dan tabiin. Mengucup tangan daripada anak terhadap ibu bapa, murid-murid terhadap guru-guru sangat digalakkan oleh Islam tetapi mengucup tangan orang-orang fasiq atau orang yang berharta kerana hartanya atau mengucup tangan mana-mana orang kerana ada tujuan tertentu maka amalan itu tidak digalakkan bahkan ianya makruh yang boleh membawa kepada haram. Sebaik sahaja selesai jamaah sembahyang jenazah maka datang pula jemaah yang lain untuk bersembahyang jenazah yang sama. Manakah yang lebih baik di sisi syarak sama ada memberi peluang kepada jamaah kedua bersembahyang atau membawa jenazah itu ke kubur untuk segera dikebumikan?- Abdul Muhaimin Ali, Hulu Terengganu. Yang lebih baik ialah bersegera membawa jenazah itu ke kubur untuk dikebumikan dan jamaah yang kedua atau berikutnya bolehlah bersembahyang di kuburnya sebaik sahaja selesai dikebumikan. Perempuan yang kematian suami, dimanakah seharusnya ianya beriddah, di rumah ibu bapanya atau di rumah suaminya yang ia tinggal bersamanya. Bolehkah ia keluar dari rumah tersebut untuk sesuatu keperluan di dalam masa beriddah itu? - Siti Asma' Abu Bakar, Kuala Lumpur. Ia hendaklah beriddah di rumahnya di mana ia tinggal bersama suaminya. Islam membenarkan ia keluar dari rumah tersebut untuk sesuatu keperluan seperti membeli barang-barang keperluannya, membuat kerja-kerja yang boleh mendatangkan rezeki dan sebagainya dengan syarat dilakukan di dalam keadaan bersopan dan menjaga peraturan-peraturan dan batas-batas agama. Apakah pandangan Islam mengenai amalan menulis ayat-ayat tertentu daripada Al-Quran kemudian tulisan itu dimasukkan ke dalam air. Selepas itu airnya diminum bertujuan mengubati sesuatu penyakit? - Pesakit musykil, Kuala Besut. Amalan tersebut tidak menjadi salah di sisi Islam asalkan memohon sesuatu daripada Allah. Al-Quran adalah penawar bagi hati serta badan, Ibnu Majjah meriwayatkan hadith daripada Saidina Ali bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik penawar adalah Al-Quran." Imam Ibnu Al-Qayyim ada menyatakan bahawa amalan tersebut berlaku juga di kalangan orang-orang salaf. Bagaimana cara untuk menyelamatkan diri daripada was-was di dalam sembahyang? - Haji Abdul Ghani Awang, Setiu. Jawapan 6 Was-was itu datangnya daripada syaitan. Oleh itu janganlah melayani perasaan was-was itu setelah diyakini apa yang dibuat atau dibaca atau diniat itu betul. Keyakinan tidak boleh ditolak oleh sebarang keraguan. Teruskan sembahyang itu dengan penuh rasa rendah diri dan mengagungkan Allah. Sebaik-baiknya memikirkan makna-makna ayat atau doa yang dibaca sepanjang sembahyang itu supaya penumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada sembahyang. Dengan itu diharap dapat mendatangkan khusyuk dan mengelak atau mengurangkan daripada was-was itu. Saya berkerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur selalu meninggalkan solat Jumaat kerana hari jumaat hari bekerja. Suasana kerja tidak membolehkan saya keluar untuk bersembahyang Jumaat. Saya selalu menghadapi tekanan jiwa dan merasa bersalah kerana tidak sembahyang Jumaat. Pohon nasihat daripada tuan.- Asmuni Rohaizad, Kuala Lumpur. Seberapa daya cubalah berusaha supaya pihak kilang membenarkan pekerja-pekerja Islam keluar untuk sembahyang Jumaat, kalau tidak berjaya mendapat kebenaran tersebut anda mesti berazam untuk mencari pekerjaan lain yang membolehkan anda keluar sembahyang Jumaat. Masalah anda adalah juga masalah sebahagian besar orang Islam yang bekerja di kilang-kilang seluruh negara. Masalah ini boleh diatasi kiranya pihak yang berkuasa menjadikan hari Jumaat sebagai hari kelepasan hujung minggu seperti mana yang berlaku di beberapa negeri. Seorang muallaf (baru memeluk Islam) mati meninggalkan isteri yang belum memeluk Islam dan beberapa orang anak yang juga tidak memeluk Islam. Bagaimana dengan harta peninggalan si mati itu, adakah perlu diagihkan mengikut pandangan Islam?- Mohd Asri Said, Kuala Terengganu. Harta peninggalan si mati tersebut tidak boleh diberi kepada isteri dan anak-anaknya sebagai harta pusaka kerana perbezaan agama satu daripada penghalang seseorang daripada mendapat harta pusaka peninggalan si mati. Bagaimanapun dalam masalah ini bekas isteri tersebut berhak mendapat harta sepencarian - jika ada - iaitu perolehan bersama dari mula dia berkahwin dengan lelaki itu sehingga tarikh ianya memeluk Islam. Harta si mati (muallaf itu) diserahkan ke baitulmal. Sebahagian masyarakat kita tidak berpakaian ketika mandi di dalam bilik, ada orang memberi fatwa perbuatan itu adalah haram. Apa pandangan tuan? - Siti Munirah Luqmanul Hakim, Kemaman. Mandi di dalam keadaaan bertelanjang di dalam bilik tidak dilihat oleh mana-mana orang adalah harus hukumnya tetapi kalau ditutup bahagian-bahagian tertentu adalah lebih baik. Berkata Imam Nawawi, harus membuka aurat ketika perlu di tempat-tempat tersembunyi dan ketika mandi. Orang-orang perempuan dalam perkara ini sama hukumnya seperti lelaki. Adakah harus memakan daging binatang buruan yang mati ditembak dengan menggunakan senapang? Kerana di antara syarat yang membolehkan memakannya ialah menggunakan senjata yang tajam sedangkan peluru yang digunakan itu adalah bulat bukannya tajam, pohon penjelasan?- Haji Zaid Ismail, Dungun. Masalah ini menjadi khilaf di kalangan para ulama'. Kekuatan tembakan itu boleh menembusi atau melukakan binatang buruan itu sama seperti menggunakan senjata yang tajam bahkan kadang-kadang kesan tembakan melebihi kesan senjata tajam itu. Oleh itu para ulama' seperti Said Ibnu Musayyab, Al-Auza'i dan yang sealiran dengan mereka menyatakan bahawa harus dimakan binatang buruan yang mati kerana ditembak itu. Adapun jumhurul ulama' berpendapat, tidak harus memakannya berdasarkan kepada syarat bahawa senjata itu mestilah tajam.
No comments:
Post a Comment