Thursday, September 07, 2006

Lima sebab boleh guna wali hakim

WALI hakim ialah sultan atau raja yang beragama Islam yang bertindak sebagai wali kepada pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali. Sultan atau raja ini sibuk dengan tugas negara, maka mereka menyerahkannya kepada kadi atau pendaftar nikah untuk bertindak sebagai wali hakim. Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1), wali hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Sebab menggunakan wali hakim Tidak ada wali nasab.Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali nasab seperti saudara baru yang tidak ada saudara maranya yang memeluk Islam atau perempuan yang tidak mempunyai wali langsung mengikut tertib wali atau anak luar nikah, maka wali hakim yang menjadi wali dalam perkahwinannya. Anak tidak sah taraf atau anak angkat.Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah ialah anak yang lahir atau terbentuk sebelum diadakan perkahwinan yang sah.Jika anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan mahu berkahwin, maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga anak angkat. Jika anak angkat itu berasal dari anak tidak sah taraf, maka walinya adalah wali hakim. Sekiranya anak angkat itu berasal daripada bapa yang sah atau keluarga yang sah, maka walinya ialah berdasarkan susunan atau tertib wali yang ada, bukannya bapa angkat. Wali yang ada tidak cukup syarat. Dalam Islam, kalau wali aqrab tidak cukup syarat untuk menjadi wali seperti gila, tidak sampai umur dan sebagainya, maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali ab’ad mengikut tertib wali. Sekiranya satu-satunya wali yang ada itu juga tidak cukup syarat tidak ada lagi wali yang lain, maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali hakim. Wali aqrab menunaikan haji atau umrah Dalam kitab Minhaj Talibin dalam bab nikah menyatakan jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah, maka hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim. Demikian juga sekiranya wali aqrab itu membuat wakalah wali. Oleh demikian, jika seseorang perempuan yang hendak berkahwin, hendaklah menunggu sehingga wali itu pulang dari Makkah atau dengan menggunakan wali hakim. Wali enggan Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin, walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak. Diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar, katanya : “Saya mempunyai saudara perempuan . Dia dipinang seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda itu, kemudian diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis edahnya. Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab: “Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya.” Peristiwa ini disampaikan kepada Rasulullah.Berhubung peristiwa itu, Allah menurunkan ayat bermaksud: “Apabila kamu mentalakkan isteri-isterimu, lalu habis masa edahnya, maka janganlah kamu (wali) menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya.” (Surah al-Baqarah, ayat 232) Kemudian Ma’qil berkata: “Kemudian saya membayar kifarah sumpah dan perempuan itu saya kahwinkan dengan lelaki berkenaan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Abu Daud) Dalam sebuah hadis lain dinyatakan: “Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan iaitu solat apabila telah datang waktunya, jenazah apabila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim) Oleh demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu. Menurut jumhur fuqaha (Syafie, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakim yang menikahkannya. Rasulullah bersabda : “Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi).

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

Assalaamualaikum.w.t.h
Siapa yg melantik wali hakim?
1. Ada pihak yg mengatakan wali hakim dilantik oleh penguasa agama sesebuah negeri.
2. Ada pihak yg mengatakan Wali Hakim dilantik oleh wanita dan sesiapa sahaja boleh menjadi wali hakim.
Manakah yg betul? Boleh nyatakan hujjah pd jawapan nanti.
Wassalaam.

fikrah islamiah said...

Wanita yang tidak ada wali nasab perlu memohon sendiri wali hakim di mahkamah syariah. dalam hal ini wanita yang tidak wali nasab perlu memohon pernikahan dahulu melalui pejabat agama tempatan. di situ nanti akan dipanjang kes ini ke mahkamah.