Mencari keredhaan Allah
DIALAH Yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaan-Nya). (Surah al-Mulk : 15)HuraianIslam tidak melarang kita mencari kesenangan di dunia. Walau bagaimanapun suatu masa nanti setiap yang bernama manusia itu akan menemui mati. Maka, apakah bekalan yang harus disediakan sebelum mati itu? Sudah tentu semasa seseorang itu masih hidup, bekalan berupa amal soleh sama ada usaha, amal, akhlak, kerja dipersiapkan. Sebab itulah dikatakan bahawa "Dunia adalah ladang akhirat". Maksudnya di akhirat kelak, wajib bagi seseorang Muslim itu dipertanggungjawabkan akan apa yang telah dilakukannya semasa di dunia. Maka jika semasa di dunia, hidup seseorang itu dipenuhi dengan perkara maksiat seperti pergaulan be-bas, rasuah, mengkhianati orang lain, pecah amanah atau sebagainya, sudah tentu bekalan yang akan dibawa adalah berbentuk dosa dan maksiat kepada Allah, begitulah sebaliknya. Sesungguhnya dunia adalah ibarat air laut. Semakin diminum airnya yang masin terasa hausnya, samalah keadaannya dengan kesenangan dunia yang jika semakin dikejar, tidak akan pernah merasa puas, apalagi jika pendidikan agama yang dimiliki seseorang itu terlalu dangkal (sedikit) menjadikan orang yang sedemikian ini tergolong sebagai orang yang kufur dengan nikmat Tuhan-Nya dan tidak takut melakukan maksiat. Justeru Allah s.w.t. menyuruh kita supaya menggunakan nikmat pemberian-Nya untuk perkara- perkara kebaikan, bukan kemungkaran ataupun kejahatan kerana kepada Dialah kita akan dikembalikan.KesimpulanKehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang bersifat sementara. Namun Islam tidak menafikan akan kepentingan dunia kerana dunia adalah masa untuk kita bercucuk tanam dan akhirat adalah masa untuk kita menikmati hasilnya. Maka, tidak ada alasan lagi untuk kita tidak memanfaatkan keperluan kehidupan dunia sebagai saham untuk keuntungan di akhirat kelak kerana orang yang bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t. adalah mereka yang menggunakan segala nikmat yang dikurniakan itu untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. dan takut melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. kerana yang demikian itu (maksiat dan kejahatan) umpama serangga perosak yang akan memusnahkan segala kebaikan yang dilakukan sebelumnya.-
Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
No comments:
Post a Comment