Thursday, September 07, 2006

Pelik tapi benar dalam solat

Oleh: ZUARIDA MOHYIN

PERNAHKAH anda melihat orang sembahyang sambil mendukung anak, sambil menoleh ke kiri dan ke kanan, memegang al-Quran dan bagaimana bersolat di dalam kapal terbang?Ramai keliru dalam hal ini, apa lagi sewaktu berada di negara asing, yang mempunyai perlakuan solat yang pelbagai rupa dan ragam. Lantaran itu, memiliki buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat tulisan Abdul Rahman Mohamed terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. pasti dapat mendedahkan segalanya. Sebenarnya, anda boleh menangis ketika solat jika sedih atau menyesali perbuatan masa lampau. Namun bagaimana anda hendak mengesat air mata? Buku ini akan memberi demonstrasi serta panduan menoleh ke kiri dan kanan ketika solat tetapi dengan syarat dada tidak terpaling dari arah kiblat.Anda juga boleh melangkah ke kiri, ke kanan, ke hadapan atau ke belakang untuk mengelakkan sesuatu yang merbahaya misalnya ada najis, benda tajam atau binatang berbisa di tempat sujud. Malah anda juga boleh menutup suis elektrik, api dapur, membuka pintu jika ada tetamu datang, mematikan bunyi telefon bimbit, mententeramkan anak-anak anda yang sedang berkelahi, melekatkan kembali mikrofon yang terjatuh, mematikan mikrofon yang berbunyi bising dan sebagainya.Buku ini juga menerangkan bagaimana hendak menegur imam yang melakukan kesalahan dalam bacaan atau rukun fi’li, membetulkan orang yang tersalah kiblat dan bagaimana menjawab salam ketika solat.Jjika berada dalam situasi kritikal seperti sedang memandu yang tidak boleh berhenti atau berada di dalam keadaan keliling yang merbahaya untuk solat seperti biasa sedangkan waktu solat hampir luput, turut diterangkan di dalam buku ini. Ia sekali gus menjawab bagaimana bersolat bagi angkasawan.Selain itu, anda jangan merasa pelik jika anak kecil boleh menjadi imam solat sedangkan Imam Ghazali pun telah menjadi guru besar ketika berumur sembilan tahun.Antara persoalan lain ialah kaedah menjamak (mengumpul) dan mengqasar (memendekkan) solat semasa musafir dan bagaimana mendirikan solat serta berwuduk ketika terlantar sakit, wayar elektrik berselirat di tubuh serta bersimen. Tahukah anda juga bahawa jika terpaksa atau terdesak, umat Islam boleh bersolat di gereja atau kuil. Hukum solatnya sah tetapi makruh asalkan mematuhi syarat-syarat tertentu. Ini berlandaskan kepada hadis Rasulullah, Seluruh muka bumi adalah masjid dan sebagai alat pembersih, maka siapa sahaja bila sampai padanya waktu solat, maka hendaklah dia solat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)Buku ini juga memuatkan gambar-gambar berwarna dalam situasi sebenar untuk panduan pembaca dengan lebih jelas.

1 comment:

Anonymous said...

sukran ya ustaz