Thursday, September 07, 2006

Pelalau kunci nafsu

Bersama: DR.AMRAN KASIMIN

SOALAN:

Banyak orang telah meminang saya. Rasanya lebih daripada lima orang, tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan. Begitu juga hubungan saya dengan lelaki, mula-mula serius, tetapi akhirnya hilang begitu sahaja, sehinggalah sekarang ini saya berumur 29 tahun.Adakah saya ini akan membujang hingga ke tua. Adakah ia berpunca daripada rupa atau tingkah laku saya. Saya seorang perempuan yang sederhana dan mempunyai rupa yang tidak kurang cantiknya, berbanding dengan teman-teman yang telah bersuami.Adakah saya berkemungkinan kena sihir atau pelalau seperti yang difahami oleh sesetengah orang?– INA AINA, Segamat

JAWAPAN:

Dalam membicarakan hal-hal yang berkaitan dengan jodoh, banyak perkara yang perlu dikaitkan. Ia berbeza menurut keadaan atau latar belakang individu yang terlibat. Punca ataupun sebab yang dimiliki oleh seseorang, tidak semestinya boleh diaplaikan kepada orang lain.Kerana itu memang ada logiknya kalau masalah jodoh ini disandarkan kepada Tuhan, biarpun ia melibatkan sebab musabab latar belakang manusia itu sendiri, malah qadak dan qadar itu sebenarnya memang daripada Tuhan.Orang yang tidak berkahwin, terutamanya golongan wanita tidak boleh dikaitkan dengan rupa paras yang kurang cantik, perwatakannya yang kasar, cacat dan sebagainya, biarpun tidak dapat dinafikan kecantikan, tingkah laku lemah lembut dan lain-lain sifat tertentu itu menjadi impian dan idaman kebanyakan orang.Allah s.w.t. menjadikan setiap satu itu berpasangan. Itulah di antara tanda-tanda kebesaran-Nya. Orang lelaki yang cukup anggota tetapi memiliki isteri yang cacat mata, ataupun sebaliknya. Persoalan bagaimana pasangan yang tidak boleh melihat keindahan dunia itu boleh bertemu dengan pasangannya adalah di luar keupayaan manusia untuk menentukannya.Manusia hanya berupaya merancang. Allah adalah penentu yang sebenar. Kerana itulah manusia perlu menyandarkan setiap sesuatu kepada Allah, setelah berusaha, bertawakal dan berdoa lalu akhirnya berpasrah dan menerima setiap qadak dan qadar itu dengan rela dan ikhlas hati. Sesungguhnya Allah itu mahukan setiap hamba itu menerima qadak dan qadar ketentuannya dengan penuh kerelaan.Merujuk kepada soalan saudari, saya tidak tahu sama ada saudari masih belum menemui jodoh sehingga sekarang kerapa pelalau, atau kerana sebab-sebab lain seperti yang dijelaskan.Ketentuan sebab yang saudari nyatakan, di luar keupayaan saya untuk menjelaskan, walaupun demikian keterangan berikut akan menjawab pertanyaan saudari.Pelalau adalah satu istilah dalam ilmu kebatinan Melayu yang melibatkan sihir. Sihir tidak boleh berlaku kecuali dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin.Sihir jenis ini dilakukan oleh manusia dengan bantuan makhluk halus, di antaranya untuk mengunci nafsu manusia tidak kira lelaki ataupun perempuan, daripada keinginan untuk berkahwin.Kesan daripada terkuncinya nafsu, tabiat orang yang terlibat mungkin akan berubah, menjadi pendiam, tidak aktif, dalam keadaan murung, menyendiri dan tidak kurang di antara mereka yang bertindak di luar kebiasaan, akibat daripada tekanan jiwa ataupun akibat sihir pelalau, atau kerana kedua-duanya.Selain daripada pelalau kunci nafsu kahwin, sihir jenis ini juga boleh menyebabkan berlakunya halangan-halangan menyebabkan usaha untuk menemukan jodoh seseorang itu tidak kesampaian.Seorang gadis yang terkena sihir jenis ini mungkin berminat hendak mengahwini seseorang jejaka, tetapi pasangannya mungkin akan menolaknya, begitulah sebaliknya.Pasangan ini mungkin telah bertunang bertahun lamanya, tetapi pada saat menunggu hari berlangsung, pihak perempuan atau lelaki enggan berkahwin dengan tunangnya, tanpa sebab-sebab yang munasabah.Halangan mungkin tercetus daripada sikap ibu bapa atau salah seorang daripadanya, yang selalunya berlaku pada ibu kepada perempuan berkenaan. Mungkin ibu tadi mengancam akan membunuh diri kalau anak perempuannya tetap berkahwin dengan pasangannya atau ia tidak akan mengaku anak buat selama-lamanya dunia dan akhirat.Ahmad An-Nuhas at-Tumi, dalam bukunya bertajuk Syifau ‘r-Rahman li ‘s-Sihri wa ‘l-hasad wa amradi ‘l-Jann, muka surat 55-60 menyatakan yang dia telah didatangi oleh seorang bapa bersama seorang gadis, memberitahu yang dia adalah seorang pekerja mempunyai ijazah Alamiyah, tetapi dia sering tidak berupaya menahan marah.Dia telah menemui banyak doktor jiwa, tetapi tidak berhasil mengatasi masalah yang dihadapi. Bapanya mengadu masalah anaknya yang tidak mahu berkahwin.Syeikh Ahmad telah bertanyakan latar belakang si gadis dan mendapati adanya tanda-tanda gangguan, lalu ia membaca ayat-ayat al-Quran. Ketika sedang membaca, gadis tersebut kelihatan menggeletar, lalu menjerit dan tidak sedarkan diri. Dalam keadaan tidak sedarkan diri ini telah berlaku dialog di antara Syeikh dan jin yang ada dalam tubuh gadis, menyebabkan berlakunya rasukan.*PinanganKetika ditanya apakah punca menyebabkan si gadis menolak pinangan orang yang hendak mengahwininya, jin yang mengeluarkan suara melalui lidah gadis menyatakan bahawa dialah yang melakukannya kerana dia terlalu sayang kepadanya.Ketika ditanya bagaimana hal ini boleh berlaku, jin itu menjelaskan bahawa apabila ada orang lelaki datang meminang dia (jin) tadi akan menjadikan wajah orang yang meminang itu begitu hodoh pada pandangan si perempuan, jadi timbulnya rasa benci yang bersangatan.Setelah syeikh tadi membacakan ayat-ayat al-Quran yang terdiri daripada ‘ayat-ayat azab’ jin itu akhirnya keluar dengan izin Allah. Gadis tersebut sembuh dan akhirnya menemui jodohnya dengan izin Allah s.w.t.Dalam buku yang sama, muka surat 57, Syeikh Ahmad menghuraikan pengalamannya ketika didatangi oleh seorang lelaki yang datang bersama anak perempuannya, yang dikatakan memang rajin membaca al-Quran, tetapi sejak dua minggu lalu, dia telah meninggalkan sembahyang dan cepat marah biarpun kerana perkara yang kecil.Setelah merasakan perempuan berkenaan menghadapi masalah gangguan, syeikh mula membaca doa-doa yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran. Ketika sedang membaca, perempuan tadi kedengaran ketawa dan terus menerus ketawa berpanjangan, diikuti tangisan yang bersangatan.Ketika ditanya, jin yang berada dalam diri perempuan tersebut selama sebulan tetapi tidak berjaya masuk dalam badannya kerana perempuan itu selalu berpuasa dan sembahyang. Tetapi sejak dua minggu lalu, iaitu selepas bulan Ramadan, perempuan berkenaan telah marah yang bersangatan membolehkan jin masuk dalam tubuh.Setelah dirawat dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, jin itu keluar dengan izin Allah. Perempuan tadi terjaga dan bertanya apa yang telah berlaku dalam dirinya.Syeikh Ahmad, menyuruhnya agar sentiasa membaca al-Quran, zikir-zikir di waktu pagi dan petang. Kepada bapa gadis itu, Syeikh memberi nasihat agar tidak mempercayai kata-kata jin, yang masuk ke dalam tubuh anak gadisnya itu atas permintaan manusia.Pada satu ketika lain Syeikh Ahmad telah didatangi oleh seorang perempuan muda yang menyandang jawatan tinggi, tetapi tidak mahu berkahwin. Ketika ditanya, kenapa tidak mahu berkahwin, dia menyatakan: Saya telah turun darah nazif sejak satu tahun, tidak mahu sembuh biarpun puas berubat. Saya merasa sesak dada setiap kali ada lelaki yang datang hendak meminang,’’.Ketika dibacakan doa, seluruh jarinya kelihatan menggeletar menunjukkan adanya gangguan. Syeikh telah menyuruhnya membaca surah Yasin, as-Saffat, ad-Dikhan. Selepas seminggu, gadis tadi memberitahu yang darahnya telah berhenti setelah tiga hari dia membaca surah-surah berkenaan. Gadis ini akhirnya menemui jodohnya dengan izin Allah s.w.t.Berdasarkan contoh-contoh yang saya jelaskan tadi, ternyata pelalau yang saudari tanyakan, yang menyebabkan seseorang itu sukar menemui jodoh ataupun tidak menemui jodoh memang sesuatu yang benar boleh berlaku.Pelalau adalah salah satu cabang ilmu sihir. Sihir tidak berlaku kecuali dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin, sama ada iblis atau syaitan.Banyak tanda untuk membuktikan sama ada seseorang itu sukar menemui jodohnya kerana pelalau ataupun sebab yang berpunca daripada perlakuan orang yang terlibat, tanpa melibatkan pelalau.*PertolonganKaedah yang berkesan mengatasi masalah yang berkaitan pelalau ialah dengan meminta pertolongan daripada yang arif menggunakan ayat-ayat al-Quran, seperti yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad. Kaedah lain dengan memperkuatkan roh iaitu bertakarub kepada Allah s.w.t.Untuk keterangan mengenai kaedah-kaedah rawatan yang perlu dilakukan, saudari boleh merujuk buku bertajuk: Merawat diri akibat sihir dengan bermunajat, 1998. Percetakan Watan, Kuala Lumpur.Tidak mudah untuk menentukan sama ada seseorang itu tidak berkahwin berpunca daripada faktor luaran diri sendiri atau kerana sihir (pelalau).Di antara tanda-tanda seseorang itu kena sihir ialah adanya gangguan ketika hendak tidur. Bermimpi sesuatu yang mengerikan, seperti didatangi binatang buas, ditikam lembing, dilanggar kereta dan sebagainya.Begitu juga dengan bermimpi melihat sesuatu yang menakutkan, seperti dikejar hantu, harimau, ular dan sebagainya. Jatuh dari tempat yang tinggi dan lain-lain lagi.Tanda-tanda lain seperti mendengar suara yang ganjil di dalam rumah, di atas rumah atau paip dan suis lampu terbuka sendiri. Kadang-kadang dia mendengar suara memanggilnya, biarpun tidak ada manusia di sekelilingnya.Tanda lain yang lumrah terjadi seperti berbau sesuatu yang luar biasa seperti bau wangi, padahal tidak ada minyak wangi tumpah, terbau busuk, bau darah, kemenyan, bau orang mati, nanah dan sebagainya. Bau-bau ini mungkin dihidu oleh diri mangsa sendiri atau seisi rumah.Sering berlaku mangsa terlihat makhluk yang ganjil, dengan rupa yang menakutkan. Objek-objek seumpama ini selalunya sekelip mata sahaja. Ketika seorang diri di rumah terasa adanya makhluk di sebelahnya, meremang bulu roma, manakala telinga menjadi tebal pada waktu-waktu tertentu.Apa yang berlaku pada mangsa pelalau, ialah hilang rasa untuk berkahwin atau untuk meneruskan hubungan dengan seseorang biarpun sebelum ini ia terlalu mengharap benar agar hubungan itu berakhir dengan perkahwinan.-

PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

No comments: