Panduan merawat kerasukan syaitan tanpa merosakkan akidah
Judul: Kajian Terperinci Kerasukan Syaitan dan Sihir (Panduan Berubat dan Bid’ah Semasa Rawatan)
Penulis: Ibrahim Abdul Alim Abdul BarPenerbit: Jasmin Enterprise Pengulas: Jami’ah Shukri
KERASUKAN syaitan dan sihir adalah antara perbuatan mungkar yang dapat dilihat di dalam masyarakat kita. Banyak sebab perkara ini berlaku. Contohnya, di dalam amalan perubatan dan penyembuhan ada sesetengahnya sanggup membelakangkan Allah dan al-Quran dalam usaha mencapai matlamatnya.Di sini, peranan jin dan syaitan akan bersatu dengan menjadikan ia lebih menyesatkan pengamalnya. Kesepakatan tukang sihir, syaitan dan orang yang mendapatkan khidmat itu bagi sesuatu tujuan negatif adalah perbuatan kufur, syirik dan patut dibunuh kerana ia amat dilaknati Allah.Justeru, umat Islam perlu mengetahui cara pengubatan yang dibenarkan dalam Islam supaya tidak tergelincir daripada batas syarak.Buku ini memberi panduan kepada pembaca ke arah itu. Buku ini membicarakan 10 perkara mengenai kerasukan syaitan dan sihir serta panduan berubat.Perkara itu termasuk persoalan mengenai jin dan syaitan; pengubatan orang terkena sihir; perlindungan Allah terhadap gangguan syaitan dan penyembuhan penyakit kejiwaan mengikut syarak.Dalam buku ini dijelaskan bahawa jin berasal daripada perkataan ‘janna’ iaitu menutupi sesuatu atau segala sesuatu atau segala sesuatu yang tidak dilihat oleh mata. Jin ada tiga jenis, iaitu mempunyai sayap dan boleh terbang ke udara; boleh berubah bentuk seperti menyerupai ular dan kala jengking dan mereka dapat berdiri dan berjalan.Hakikatnya jin mendapat tugas seperti makhluk Allah yang lain. Oleh itu ada jin mukmin dan kafir. Ada yang taat dan sebaliknya turut melakukan maksiat. Jin ini boleh berbicara dengan kita mengenai perkara tertentu dan jin kafir akan dihumban di dalam neraka.Mengenai syaitan, semuanya kafir dengan melakukan kerja membangkang daripada bangsa jin dan manusia. Syaitan akan menangis apabila anak Adam bersujud membaca ayat sajdah.Hati yang kosong daripada keimanan dan kebaikan serta tidak mengingati Allah menjadi tempat bertapaknya syaitan dengan membisikkan hati. Kemudiannya mengambil tempat dalam hati hingga berleluasa mengatur apa yang ia inginkan dan mewujudkan perkara menyesatkan.Dalam buku ini juga diterangkan gejala orang yang kerap didatangi kerasukan. Antaranya lupa mengingati Allah, dada terasa sesak, senang menyendiri, sering lupa, mengalami gangguan kejiwaan, ketakutan luar biasa, perasaan benci orang di sekeliling, sering meragui, malas dan pening tidak disebabkan oleh sebab secara perubatan.Kerasukan itu mempunyai sebab tertentu seperti akibat permusuhan, ingin membalas dendam, hawa nafsu, kezaliman, rindu dan cinta serta kerasukan disebabkan panggilan jin dan dipengaruhi syaitan.Turut dijelaskan ialah perubatan mereka yang dirasuk syaitan termasuk bagaimana ia dilakukan untuk mengelak gangguan berterusan.Penulis turut memaparkan cara perlindungan yang diberi Allah untuk mengelak gangguan syaitan dan sihir seperti sentiasa mengingati Allah pada setiap masa sama ada ketika bangun tidur, keluar rumah, singgah ke sesuatu tempat, hendak tidur dan melakukan hubungan seks.
No comments:
Post a Comment