Dua malaikat seru manusia berbuat baik setiap hari
NABI Muhammad SAW bersabda:
“Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu dua malaikat yang menyeru seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: “Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: “Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah.” (Abu ad-Dardaa')Dalam menghadapi kehidupan dunia seharian, manusia mestilah sentiasa berwaspada terhadap pujukan syaitan.Jangan mudah terpedaya dengan perkara yang melalaikan daripada berusaha mengerjakan amal kebaikan yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya. Rasulullah SAW menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari terdapat dua malaikat yang menyeru manusia supaya mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang untuk mencapai keredaan Allah.Manusia juga diseru supaya sentiasa mengambil ingatan bahawa pendapatan seharian yang diperoleh secara halal meskipun sedikit sebenarnya adalah jauh lebih baik daripada pendapatan yang banyak tetapi kemudian melalaikan manusia itu daripada mengerjakan amal ibadat.Sesungguhnya manusia yang sentiasa membelanjakan harta benda, ilmu pengetahuan dan tenaganya untuk jalan Allah akan sentiasa didoakan oleh malaikat semoga Allah memberikan balasan berlipat ganda kepadanya, tetapi sebaliknya kepada mereka yang bersifat bakhil, didoakan agar ditimpa kerugian besar.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment